November 21, 2019

Sinar Harian, Khamis 21 November 2019

SEBUT saja Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor pasti sudah sinonim di benak kita akan lokasinya yang sering menjadi pusat untuk mempromosikan hasil pertanian dan makanan Malaysia.

Ditubuhkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk menjadi pusat kegiatan dan aktiviti berasaskan hasil bumi, ia seringkali dipilih sebagai tempat pameran utama bagi acara dan aktiviti tempatan serta antarabangsa.

Paling melekat di hati rakyat Malaysia apabila MAEPS sinonim menjadi tuan rumah bagi kejayaan program skala raksasa seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun.

Taman seluas 130 hektar terletak di atas tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu memperlihatkan usaha keras MOA memposisikan kepentingan kedaulatan dan keselamatan makanan negara, selaras dengan moto 'Makanan Kita Masa Depan Kita'.


Selain tempat pertemuan, persidangan dan pameran, terutamanya berkaitan bidang pertanian dan hortikultur, MAEPS kini kian menjadi tumpuan industri agro pelancongan.

Nyata mendapat sambutan, buktinya Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman berkata, secara purata kira-kira 60,000 pengunjung yang menjejakkan kaki di MAEPS setiap bulan.

Pada satu sisi, dek kedudukannya dalam lingkungan strategik, Norafizah berkongsi pihaknya mengidamkan MAEPS bakal menjadi ala lokasi popular Central Park iaitu taman bandar terletak di Manhattan, New York City, di Amerika Syarikat.

Melihat potensinya, barangkali bukan mustahil buat MAEPS. Apa agaknya keistimewaan di lokasi taman agro itu? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif minggu ini.

SAMBIL menikmati makan tengah hari, kelihatan kanak-kanak bergembira memberi makan dan bermain dengan sang unta. Beberapa ekor kambing turut kelihatan 'memeriahkan' suasana.

Usahkan si kecil, mereka yang dewasa juga teruja. Mana tidaknya, haiwan yang biasa didapati di padang pasir kini berada di depan mata. Aksi 'manja' kumpulan kambing yang menanti pengunjung untuk menyuakannya dengan makanan juga mencuit hati.

Ya, betapa lapangnya dada tatkala penulis dapat meluangkan masa menyaksikan situasi berbeza itu. Dapat pula menaiki trem di samping menghirup udara yang dikelilingi kehijauan dan tanaman serta menikmati pemandangan air tasik di lokasi yang tenang tanpa kesibukan kenderaan.

Ternyata ciptaan Tuhan seperti haiwan, flora dan fauna mampu membelai kedamaian di hati. Bagi jiwa yang mampu menjadi 'cair' melihat anugerah ILAHI itu, destinasi agro pelancongan barangkali mampu memenuhi keperluan.

Itu yang dapat kami rasakan tatkala mengunjungi Taman Ekspo Pertanian Malaysia atau lebih dikenali sebagai MAEPS Serdang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman ketika diwawancara baru-baru ini turut menekankan bahawa lokasi di MAEPS mempunyai signaturnya yang tersendiri hingga kian menjadi tumpuan.


NORAFIZAH
"Sebenarnya sejak Disember 2017, kita sudah ada unit baharu iaitu Unit Agrotourism. Mungkin belum lagi mencapai tahap seperti di negara jiran, tetapi jumlah pengunjung di MAEPS sudah agak memberangsangkan.

"Boleh dikatakan bukan sekadar laman pertanian, ramai datang ke MAEPS kerana lokasi gastronomi atau tempat makan dan aktiviti serta kemudahan terdapat di sini," katanya kepada Sihat:Aktif.

Pendek kata, menawarkan kepuasan untuk relaks dan menyihatkan di samping beraktiviti buat pengunjung, MAEPS sememangnya prospek besar bidang pelancongan. Sesuailah ia lokasi terpilih sempena Tahun Melawat Sepang 2020 nanti.

Apa yang menarik di situ? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif sempena tinjauan di sana baru-baru ini.

House of Kambing/ MAEPS Ecofarm

Kami mula 'meredah' MAEPS kali ini dengan mengisi perut di House of Kambing. Bagi pencinta masakan berasaskan daging kambing, jangan lepaskan peluang menikmati hidangan di situ.

Mungkin sukar didapati di tempat lain, apa kata cubalah hidangan antaranya, daging kambing goreng, nasi goreng kambing, kambing goreng kunyit ataupun sup kambing di situ. Penulis pasti mereka yang mencubanya akan menaikkan ibu jari tangan.


HOUSE of Kambing.

MENU yang disajikan di House of Kambing.
Anda tidak makan kambing? Jangan bimbang makanan berasaskan lauk lain seperti ayam juga terdapat di situ. Yang pasti menu untuk si kecil juga tersedia.

Di samping menjamu selera, bolehlah menjamu mata melihat unta dan 'rakan-rakan' kambingnya yang hanya terletak di padang bersebelahan House of Kambing.

Pengunjung berpeluang menyuapkan makanan kepada haiwan berkenaan. Anak-anak pasti insan paling gembira dengan momen itu.

Laman herba & Ladang Mini Kelulut

Paling signifikan dengan apa yang ditawarkan MAEPS ialah empat buah laman pertanian khususnya untuk tanaman herba, padi, nanas dan ternakan.

Usai mengisi perut, salah satu lokasi yang sempat kami kunjungi ialah Laman Herba. Mempunyai gabungan lebih 150 spesies, pelbagai tanaman, ramuan dapur, bunga-bungaan dan ulaman yang mempunyai nilai perubatan boleh didapati.

Di samping menambah ilmu pengetahuan, tarikan tumbuhan berwarna-warni, aroma semula jadi sememangnya memberi kesan terapeutik kepada pengunjung.

Antara menarik perhatian, pokok tongkat ali, kacip fatimah, mahkota dewa, belalai gajah, lampoyang, hempedu bumi, senduduk, lelipan, bidara, jarum tujuh bilah dan pelbagai lagi.


ANTARA herba di Laman Herba.
Barangkali pusat sehenti herba itu juga sesuai untuk golongan penyelidik, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi, malah orang awam yang berminat untuk mengenali dengan lebih dekat tumbuhan berguna di sana.

Sesuailah beberapa puluh koloni atau 'rumah' lebah kelulut di Ladang Mini Kelulut ditempatkan di laman itu. Kami difahamkan, hasil madu yang berbeza adalah daripada hasil bunga dan tumbuhan berbeza yang dihisap oleh lebah.

Sempat juga kami merasa pelbagai jenis madu di Ladang Mini Kelulut itu.

Laman Nanas

Mahu membasahkan tekak dengan minuman sihat? Apa kata singgah di Laman Nanas yang menyediakan buah segar nanas yang dihidangkan bersama air dan tat nanas.

Istimewanya, nanas jenis MD2 yang pastinya umpama cair di mulut. Tidak perlu khuatir lidah berasa merambat selepas makan buah tropika itu, ia hampir tidak berlaku.


PENGUNJUNG disajikan dengan air, buah dan tat nanas.
Isinya yang manis tanpa gula, mampu menambah ceria. Jangan pulang dengan tangan kosong. Jika tidak, sudah tentu akan terkenangkan akan keenakan rasanya selepas menikmati nanas itu tatkala sampai di rumah.

Laman Padi

Bukan mudah untuk menikmati pemandangan sawah padi di kawasan dikelilingi pembangunan masa kini. Namun itu bukan sesuatu yang mustahil di Laman Padi MAEPS.

Bertuahnya kunjungan tim Sihat:Aktif kali ini apabila berpeluang mengunjungi laman istimewa itu ketika dedaun padi sedang menghijau.


PADI yang sedang menghijau ketika kunjungan Sihat:Aktif.
Biarpun petaknya tidaklah seluas saujana mata memandang, tetapi sudah cukup membuatkan kami berpuas hati menyaksikan sendiri tumbuhan yang menghasilkan makanan ruji itu.

Buat ibu bapa yang ingin menunjukkan pokok padi untuk tatapan si anak yang dahagakan ilmu, bolehlah berkunjung ke sini. Yang pasti, galeri padi di situ dapat memudahkan lagi penerangan mengenai 'pokok beras'.

Dari kaedah tradisional hingga ke moden, semuanya dipaparkan. Tentu anak-anak akan melopong mulut tatkala menghayati rupa dan kegunaan peralatan padi.


PERALATAN tradisional di Galeri Padi.
Sebelum itu, sempat trem yang dinaiki kami melalui lokasi Rumah Negeriku yang menonjolkan keunikan 13 reka bentuk rumah tradisional setiap negeri.

Difahamkan, rumah di bawah kendalian Kerajaan Negeri masing-masing itu juga menawarkan pakej atau aktiviti untuk persembahan kebudayaan, makanan istimewa dan produk keluaran negeri, banquet event dan majlis reunion.

Pun begitu, program di bawah komponen itu adalah tertakluk kepada kelulusan penggunaan Rumah Negeri oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

G2G Animal Garden (zoo mini)

Pastinya sekeluarga dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan tatkala berkunjung ke G2G Animal Garden.

Mengenali dan mendekati haiwan dengan lebih dekat malah berpeluang menyentuh haiwan jinak, mungkin menjadi pengalaman manis buat si kecil untuk bercerita sehingga sampai ke rumah apa yang terdapat di zoo mini itu.

Buat pemegang MyKad, bayaran masuk ke G2G hanya RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak serta warga emas. Sementara pakej sekeluarga hanya serendah RM60.

Terdapat Pygmy Goat, kambing jenis kerdil dan sangat comel bernama Tengku. Lihatlah secara dekat kambing berasal dari lembah Cameroon Afrika Barat itu. Manja dan jinak serta suka mengusik kanak-kanak, Tengku sentiasa menjadi tumpuan dan menghiburkan pengunjung G2G.

Sempat juga penulis melewati 'rumah' burung-burung yang jinak, bermain dengan pelbagai jenis spesies kucing dalam 'rumah' dilengkapi pendingin hawa buatnya dan arnab yang setia menanti.


BURUNG jinak di G2G Animal Garden.
Haiwan comel seperti rakun, marmoset (monyet kecil) bertelinga putih, reptilia juga ada di situ.

Bagi si kecil yang mahu mencuba menunggang kuda padi, terdapat khidmat tersebut yang disediakan. Kosnya sekali tunggangan hanya serendah RM5.

Difahamkan terdapat lebih 60 spesies haiwan jinak di G2G yang beroperasi pada hari biasa dari jam 10 pagi hingga 6 petang, manakala pada hari minggu dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.

Sukan berkuda

Anak remaja dan dewasa dahagakan aktiviti sihat yang lebih mencabar, apa kata ke lokasi Sukan Berkuda, Rubinga Heritage dan Equine Centre - Majlis Ekuin Malaysia di MAEPS.

Sesungguhnya melihat kelibat kegagahan kuda yang tegap dan tinggi di situ juga sudah mampu meningkatkan adrenalin. Cubalah juga menunggangnya, pastinya akan menyimbah aura keberanian berbeza.


DI tapak Sukan Berkuda.
Hendak belajar menunggang kuda juga boleh di situ. Pelbagai pakej disediakan.

Spa @maeps

Penat dan lenguh badan, singgahlah pula di Spa @maeps.

Kepakaran ahli fisioterapi di situ adalah untuk membantu menyelesaikan masalah dan menambah baik kesihatan melalui kaedah perawatan alternatif dan komplementari.

Antara yang istimewa di situ adalah terapi meridian badan dengan gabungan lima teknik urutan. Teraputik refleksologi juga merupakan teknik urutan bagi pemulihan serta penjagaan kesihatan tubuh badan secara menyeluruh dengan cara mudah, selamat dan berkesan juga dihidangkan di Spa @maeps.


KRU Sihat:Aktif mencuba rawatan di Spa @maeps.
Waktu operasi di spa itu adalah setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang dari hari Isnin hingga Ahad.

Pun begitu, sebelum datang pastikan membuat masa temujanji bagi mengelakkan terpaksa menunggu lama atau langsung tidak berkesempatan mendapatkan servis disediakan. Apa tidaknya, difahamkan senarai menunggu sentiasa ada pada setiap hari.

G2G Techno Cafe

Kembali lapar selepas seharian penat berjalan, satu lagi pilihan tempat makan menarik buat pengunjung MAEPS adalah di G2G Techno Cafe yang terletak tidak jauh dari Goat2Go Farm.

Istimewanya di situ adalah hidangan barbeku kambing, selain turut menyajikan kambing golek, lamb chop dan lamb grill. Harga berpatutannya bergantung kepada pakej.


HIDANGAN popular juga berasaskan daging kambing di G2G Techno Cafe.
Selain itu, cubalah makan piza pepperoni bersama keju mozarela home made yang ada G2G Techno Cafe. Memang lain daripada yang lain, malah harganya juga berpatutan iaitu pada RM28 untuk piza bersaiz sederhana besar.


KEJU mozarela home made yang dihasilkan sendiri untuk membuat piza di G2G Techno Cafe.
Sihat:Aktif sempat singgah dan merasa kedua-dua hidangan dijamin menjilat jari itu. Ternyata berbaloi!

Hidangan makan tengah hari turut disediakan di kafe yang dibuka setiap hari kecuali hari Selasa, dari jam 10 pagi hingga 7 malam itu.

Nafas Cube

Andai kata tidak puas meneroka segala aktiviti dan keseronokan ditawarkan MAEPS, apa kata menginap saja di situ.

Nafas Cube menyediakan bilik executive khas untuk yang inginkan kombinasi percutian selesa dan santai dengan dekorasi bilik di dalam kabin.

Biarpun begitu ia tetap dilengkapi tilam empuk dan berkualiti serta penyaman udara. Kemudahan disediakan juga lengkap dengan tandas yang bersih, selesa serta dilengkapi air panas.

Harga lebih ekonomi juga disediakan sebagai pilihan penginapan yang mana unik dengan 'rumah' berbentuk kolong, namun masih dilengkapi tilam dan pendingin hawa.


NAFAS Cube.
Pun begitu, bagi yang mahu lebih adventure, boleh memilih hanya memasang khemah sendiri. Terdapat pakej dengan harga berbaloi bagi kesemua tempat penginapan yang disediakan.

Istimewanya, pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan bertemakan taman juga boleh diadakan dengan menyewa tapak di situ.

Berhampiran Nafas Cube yang terdapat sebuah tasik yang tenang juga lokasi The Nest. Pengunjung boleh mengadakan aktiviti berkhemah, berkayak dan memanah di situ.

ANEKDOT

APA ADA DI MAEPS?

AGROTOURISM PARK

Terdapat tiga komponen utama iaitu Laman Agro, Agro Recreation dan Rumah Negeriku.

1) Laman Agro:

Terdapat pakej untuk pengunjung sama ada Guided Tour (prebook), Tram Ride (walk-in) atau pakej customised bergantung kepada permintaan pelanggan. Laman Agro MAEPS terdiri daripada lapan laman iaitu Laman Herba, Laman Sayur, Laman Padi, Laman Nanas, Laman Ternakan, Laman Florikultur dan Laman Jentera.

Guided Tour - Melawat Laman Herba, Taman Mini Kelulut, Laman Nanas, Laman Jentera, Laman Padi, MAEPS Ecofarm dan Ladang Ternakan (Goat2Go Farm). Di sini pengunjung boleh merasa food sampling, mix soil, bermain dengan haiwan kesayangan dan lain-lain.

2) Laman Agro Recreation

Pelbagai aktiviti rekreasi ditawarkan seperti trek joging, berbasikal, menunggang kuda, memanah, perkhemahan, joy run, agro hunt dan orbing. Joging dan berbasikal adalah percuma.

3) Rumah Negeriku

Komponen yang masih dalam perancangan. Menggunakan sepenuhnya 13 Rumah Negeri di bawah Kerajaan Negeri. Antara aktiviti atau pakej ditawarkan adalah homestay, persembahan kebudayaan, makanan istimewa dan produk negeri dan majlis, namun tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

Harga pakej MAEPS Agrotourism Park Pakej asas Laman Agro: RM45/pax (pemegang MyKad)

Pakej asas Agro Hunt: RM42/pax (termasuk hidangan ringan) @ RM62/pax (hidangan ringan dan makan tengah hari)

Pakej Food Hunt: RM65/pax

Antara tarikan lain diuruskan Rakan Niaga MAEPS:

1. Sukan Berkuda (Rubinga Heritage & Equine Centre - Majlis Ekuin Malaysia)

2. F&B Outlet / Restoran di MAEPS - MAEPS Bistro, House Of Kambing, Goat2Go Farm, Nasi Kandar Apollo, MAEPS Ikan Sungai & Seafood Restaurant.

3. Spa @maeps

4. Taman Mini Kelulut

5. G2G Animal Garden (mini zoo)

6. The Nest (berkhemah, berkayak & memanah)


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58170/LIFESTYLE/Sinar-Aktif/taman-agro-di-MAEPS-Serdang-Selangor
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf