Utusan Malaysia - 6 December 2010
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha mengekalkan laman ternak, pertanian serta pavilion negeri-negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang untuk mempopularkan lokasi itu sebagai destinasi agropelancongan negara.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, ilham mengekalkan laman- laman yang diwujudkan sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 itu dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Katanya, kementerian akan mengusulkan cadangan itu kepada Kabinet dalam masa terdekat sebelum membuat pengumuman mengenai pembukaan Maeps sebagai destinasi agropelancongan antarabangsa.
"Berikutan sambutan menggalakkan terhadap MAHA 2010, Perdana Menteri mahu kementerian fikirkan cara untuk menarik pelancong ke Maeps sekurang-kurangnya pada hujung minggu menerusi konsep agropelancongan.
"Justeru kementerian bercadang mengekalkan segala kemudahan di Maeps. Pelbagai aktiviti juga akan dirancang pada hujung minggu melibatkan jabatan-jabatan tertentu dalam kementerian secara bergilir-gilir seperti lelongan kambing atau lembu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup MAHA 2010 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2010 di Maeps, hari ini.
Noh menambah, bagi memanfaatkan empat dewan besar di Maeps, kementerian mahu mempromosikan tempat itu sebagai kawasan pameran terkemuka dan selesa untuk dihadiri pengunjung.
"Biarpun jauh sedikit dari ibu kota, Maeps mempunyai kelebihan kerana ada empat dewan besar dengan lebih 7,000 tempat letak kereta. MAHA 2010 membuktikan sekiranya publisiti yang betul dibuat selain tarikan pameran, tiada masalah untuk jutaan orang hadir ke sini," ujarnya.
Terdahulu, Noh turut melancarkan 'Komuniti Rakan Agro' bagi memudahkan rakyat negara ini yang berminat dalam bidang pertanian mendapatkan maklumat mengenainya hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Sesiapa sahaja boleh mendapatkan maklumat mengenai pertanian atau kementerian dengan hanya menaip REG MYSMS (NAMA) (Nombor MyKad) MOA dan hantarkan ke 15888.
"Setakat ini, seramai 20,438 orang telah mendaftar di bawah perkhidmatan berkenaan. Sesiapa yang melanggannya boleh mendapatkan maklumat mengenai tanaman, dokumen permohonan, program kementerian serta membuat aduan," katanya.